Pages

20 November 2012

Cawangan Oldtown White Coffe belum 100% ada sijil halal


Oldtown Berhad menyasarkan kesemua 179 restoran francaisnya, 



Oldtown White Coffee, di negara ini menerima perakuan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelang akhir tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Ahmad Tafsir Lop Pici berkata, setakat ini 60 peratus premis berkenaan sudah pun mendapat kelulusan persijilan halal daripada JAKIM.

“Baki 40 peratus lagi sudah pun dalam proses dan menunggu pengesahan. Kami menjangkakan persijilan halal bagi kesemua kafe akan disempurnakan menjelang akhir 2012,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru itu beliau memberi jaminan bahawa makanan dan minuman yang disajikan di semua restoran francais mereka, adalah halal.

Dr Ahmad Tafsir berkata, pihaknya sentiasa berusaha mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan JAKIM berhubung penyediaan makanan dan minuman kepada pelanggan beragama Islam.

“Kami tidak menyajikan produk makanan yang tidak halal mahu pun menyaji alkohol. Semua bekalan kami disediakan pembekal yang memiliki persijilan halal yang diiktiraf Jakim dan dikehendaki mengemukakan sijil halal yang sah bagi setiap bahan yang dibekalkan.

“Semua makanan dan minuman di restoran kami disediakan mengikut lunas-lunas Islam. Dua petugas rakyat tempatan beragama Islam bertugas pada setiap syif di setiap restoran seperti yang ditetapkan JAKIM,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya sangat menitikberatkan kualiti produk dan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan Oldtown White Coffee tidak bersekutu dengan sebarang parti politik memandangkan Oldtown Berhad adalah syarikat awam yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Saham Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Hab Halal Jakim Hakimah Mohd Yusoff ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, sebahagian permohonan masih dalam peringkat tindakan pembetulan oleh syarikat membabitkan aspek pematuhan standard dan prosedur persijilan halal JAKIM. – BERNAMA

Sumber


No comments:

Post a Comment