Pages
▼
13 February 2013
Doa Rasulullah SAW Semasa Sujud
Sujud terakhir (sebelum tasyahhud akhir) kita berdoa adalah cara kita paling dekat dengan Allah SWT, antara doa-doa yg dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika bersujud.
«اَللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ، لاَ أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ» رواه مسلم
Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung dengan keredhaanMu dari kemurkaanMu; dan (berlindung) dengan keafiatanMu dari siksaanMu; dan daku berlindung denganMu daripadaMu. Daku tidak mampu meluahkan segala pujian ke atasMu; kerana Engkau sepertimana yang Engkau puji sendiri ke atas diriMu. (HR Muslim).
Maksud doa
Ya Allah, sesungguhnya daku berlindung dengan keredhaanMu dari kemurkaanMu; Keredha-an Allah swt adalah matlamat hidup mukmin, hamba mukmin bergiat menjauhkan diri dari punca-punca kemurkaanNya. Manusia terbahagi dua, golongan yang berbahagai adalah mereka yang kehidupannya diredhai Allah. Sedang golongan yang merugi adalah mereka yang terjerumus ke dalam kemurkaan Allah. Hamba yang menegakkan solat, shiyam, zikir, dan lain-lain yang diredhai Allah adalah yang bergiat menjaga keutuhan amalan yang mereka lakukan. Sedang si hamba yang terjatuh ke dalam kemurkaan Allah, tidak bergiat menjauhi punca-punca ibadatnya terhapus dan terhebah, wal ‘iyazu billah!!!
“dan (berlindung) dengan keafiatanMu dari siksaanMu“ ‚Keafiatan’ adalah termasuk perkata-an Arab yang telah diguna-pakai dalam bahasa Melayu. Dan termasuk perkataan yang terpenting di dalam kehidupan mukmin. Oleh itu si mukmin digesa membaca dan berdoa dengannya semasa solat (doa duduk antara dua sujud, waa’fini, berilah daku keafiatan). Termasuk makna keafiatan ialah terhindar dari:
- Segala penyakit jasmani dan penyakit rohani.
- Dosa dan punca-punca dosa.
- Punca-punca penyebab iman jadi lemah.
- Punca-punca keberkatan harta benda dan usia hilang.
- Suul khatimah (kesudahan yg buruk).
- Azab kubur, azab padang mahsyar.
- Dari azab neraka...
- Dll
Dalam pada itu ’seksaan Allah’ di dalam doa pula adalah segala perkara yang bercanggah dengan ’keafiatan’ tersebut. Oleh itu jika si hamba tidak beroleh ’keafiatan’, ia akan terdedah kepada ’siksaan’. Media elektronik pada masa kini adalah punca utama manusia terjauh dari keafiatan dan terdedah kepada ’siksaan’. Dalam hal ini yang paling anehnya ’seksaan’ jenis ini sangat selaras dengan kehendak nafsu jahat (ammarah dan lawwamah), wal ’iyazu billah...
’dan daku berlindung denganMu daripa-daMu’. Ungkapan ini mengandungi, doa, harapan, pengakuan, penyerahan, atau tawakal yang jitu, bulat, dan sempurna kepada Allah. Bahawa si hamba memohon perlindungan, penjagaan Allah, kerana segala peristiwa dan keadaan yang berlaku adalah dengan ketentuan Allah. Allah adalah sebaik-baik tempat berlindung (ni’mal maula wa ni’man nasir). Sesiapa yang berlindung kepada Allah tidak akan memiliki sebarang kerunsingan, kerana Allah telah cukup baginya (fahua hasbuhu).
‚Daku tidak mampu meluahkan segala pujian ke atasMu’. Hal ini menunjukkan keagungan dan ketinggian Allah yang tiada tara, (laisa kamislihi syaiun). Tidak ada manusia yang mampu mengemukakan pujian kepada Allah. Kerana hal ini adalah diluar keupayaan manusia. Ungkapan doa ini adalah satu pujian yang tinggi. Bila si hamba mengatakan bahawa ia tidak mampu memuji Allah Tuhan Yang Maha Tinggi, dan Yang Maha Agung, bermakna ia memberikan pujian kepada Allah setinggi-tingginya.
‚kerana Engkau sepertimana yang Engkau puji sendiri ke atas diriMu’. Hanya Allah sahaja yang tahu akan hakikat sifat, kekuasaan, dan keagungannya. Ini juga termasuk pujian dan sanjungan yang tinggi.
Bila pujian yang tinggi seperti ini ditujukan kepada Allah, sedangkan termasuk sifat Allah adalah, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pengampun, Maha Pemaaf, Allah lebih kasih kepada hambaNya dari si hamba terhadap dirinya. Bila inilah hakikat dan maksud tujuan doa tersebut maka sangat diharapkan doa yang merupakan induk segala doa ini didengar dan dikabulkan oleh Allah swt. Maka patut benarlah Rasulullah mengajarkan doa ini kepada kita, terutama semasa sujud dalam solat, khasnya solat tahajud, dan solat-solat sunat lainnya. Tidak salah juga jika dibaca dalam doa harian. Doa ini sangat sesuai bagi semua peringkat usia, terutama golongan veteran.
Petikan dari: http://rahsia-rahsiabesardalamal-quran.blogspot.com
No comments:
Post a Comment