Pages
▼
3 February 2013
Fadilat Zakat
RUKUN Islam yang ketiga adalah zakat. Dalam terminologi fiqh didefinisikan sebagai sebahagian daripada kekayaan yang wajib di keluarkan untuk orang-orang yang berhak menerimanya.
Mahmud Syaltut, ulama Mesir mentafsirkan zakat sebagai ibadah kebendaan yang diwajibkan oleh Allah SWT untuk menolong atau membantu orang miskin dalam melangsungkan kehidupan.
Zakat memiliki dua dimensi, iaitu dimensi ibadah dan dimensi sosial. Dimensi ibadah di laksanakan dengan perantaraan harta dalam rangka mematuhi perintah Allah SWT serta mengharapkan pahalanya. Sementara dimensi sosial pula dilaksanakan atas dasar kemanusiaan.
Hukum zakat adalah wajib, sedangkan hukum infak atau sedekah adalah sunnah. Al-Quran menyebut tentang zakat sebanyak 32 kali, dan 26 di antaranya bersamaan dengan kata solat. Ini menunjukkan bahawa kedua-duanya sangat penting dalam Islam
Pada awal kelahiran Islam di Mekah, seruan berzakat disampaikan dengan ungkapan anfiqu fi sabilillah (berinfaklah di jalan Allah SWT). Pada masa itu, klasifikasi zakat belum ditentukan jenis harta yang wajib diinfakkan. Begitu juga nisab dan khaul (jumlah) yang perlu dikeluarkan.
Keadaan ini berterusan sehingga 1 Hijrah setelah Nabi Muhammad SAW hijrah ke Madinah. Pada saat itu mereka belum bersedia menerima kewajipan berzakat mengikut jenis nisab dan khaul. Mereka diberi kebebasan untuk menafkahkan apa sahaja menurut kadar yang mereka kehendaki.
Pada tahun ke-2 Hijrah, Allah SWT memerintahkan untuk menunaikan zakat dengan ungkapan atu az-zakah (al-Baqarah: 43). Seiring dengan perintah itu, Nabi Muhammad SAW menjelaskan ketentuan zakat, seperti jenis harta yang wajib dizakatkan, kadar nisab dan jumlahnya.
Di samping memiliki dimensi ibadah, zakat juga memiliki dimensi sosial. Zakat digunakan untuk kepentingan umum dalam mengurangi masalah-masalah sosial seperti membantu orang-orang yang kekurangan dan daif.
Melalui amalan berzakat, jurang antara golongan ekonomi lemah dengan ekonomi kuat semakin mengecil. Golongan kaya akan membantu golongan miskin dan yang miskin pula selalu mendoakan yang kaya agar ekonominya bertambah baik.
Secara global, terdapat dua kategori zakat, iaitu zakat mal (harta) dan zakat fitrah. Zakat mal adalah kadar kekayaan yang wajib dikeluarkan untuk orang yang berhak menerimanya dengan kadar yang tertentu. Zakat fitrah adalah zakat peribadi yang di keluarkan setiap Hari Raya Aidilfitri, berupa makanan asasi atau wang menurut kadar yang diwajibkan. Zakat fitrah boleh dikeluarkan pada awal Ramadan tetapi diutamakan pada akhir Ramadan, iaitu sebelum solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Hadis-hadis sahih mengenai zakat.
Rahsia di sebalik sedekah
Dari Amru bin Auf r.a katanya Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (dari pemberiannya).” (Bukhari).
Sedekah miskin dan kaya
Dari Abu Dzar r.a katanya:”Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:”Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka.” Jawab Rasulullah SAW:”Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah.” Mereka bertanya:”Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?” Jawab Rasulullah SAW “ Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala.” (al-Bukhari).
Sedekah ikut kemampuan
Dari ‘Asma binti Abu Bakar as-Siddiq r.a katanya, dia datang kepada Rasulullah s.a.w, lalu dia bertanya:”Ya nabi Allah! Aku tidak mempunyai apa-apa untuk disedekahkan selain yang diberikan Zuber (suamiku) kepaku (untuk belanja rumahtangga). Berdosakah aku apabila wang belanja itu kusedekahkan ala kadarnya ?”Jawab nabi s.a.w :”Sedekahkanlah ala kadarnya sesuai dengan kemampuanmu dan jangan menghitung-hitung kerana Allah akan menghitung-hitung pula pemberian-Nya kepadamu dan akan kedekut kepadamu.” (Muslim)
Sedekah tidak mengurangi harta
Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “ Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” (Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)
No comments:
Post a Comment