Home » » Lagenda Gunung Reng Di Jeli Kelantan

Lagenda Gunung Reng Di Jeli Kelantan

Written By Unknown on 8 November 2012 | 19:53


Gunung Reng yang tersergam indah di pinggir jalan Lebuh Raya Timur Barat di Kampung Batu Melintang, Jeli, mempunyai banyak catatan sejarah selain daripada pusat pelancongan yang unik dan sebelum ini pernah dikunjungi beberapa pengkaji sejarah serta pelancong. Ketinggian gunung ini 1889 meter dari paras laut.




Gunung yang unik itu dipercayai ada kaitan dengan legenda Puteri Sa'adong serta khazanah yang ada di dalamnya masih menjadi rahsia sehingga ke hari ini. Legendanya juga masih belum terungkap secara jelas dan hanya menjadi misteri serta tanda tanya kepada masyarakat hari ini tentang kewujudannya dengan keunikan struktur batu-batannya. Sebagaimana gua-gua yang terdapat di gunung-gunung lain yang ditemui dan diterokai oleh penggemar dan pencinta alam, Gunung Reng juga mempunyai keistimewaan tersendiri.

         Menurut papan catatan sejarahnya yang terletak di pintu masuk ke kawasan gunung itu, tapak asal gunung berkenaan dikenali sebagai Kampung Tala yang dibuka oleh Tok Tadeh dari keturunan Pulang Hari, Jawa. Mengikut catatan itu, gunung itu wujud adalah ekoran kifarat Tuhan terhadap makhluknya yang telah melanggar tatasusila masyarakat waktu itu kerana mahu kelainan dalam pesta atau bahasa tempatan dipanggil 'bergalak'. Ketua Kampung Tala pada masa itu dikatakan ingin mengadakan temasya secara besar-besaran selama tujuh hari tujuh malam dengan pelbagai permainan hingga ke acara penutupnya Ekoran itu permainan yang tidak pernah diadakan sebelum itu ialah melagakan kucing dengan anjing di atas bumbung rumah sebagai menyambut kemuncak perayaan tersebut. Acara itu dikatakan telah diadakan di waktu Zuhur dan telah mendapat sambutan dari masyarakat yang tidak pernah melihat acara ganjil yang dipersembahkan itu.
                                                      Salah satu pintu masuk ke gua di Gunung Reng.
         Menurut ceritanya lagi, disaat orang ramai bersorak-sorai, dengan tiba-tiba berlaku ribut taufan yang dahsyat diikuti hujan lebat. Di waktu kelam-kabut itu dikatakan tiba-tiba seorang perempuan tua dan cucunya berlari balik ke kampung mereka dikenali dengan 'Kampung Gantang' berhampiran Kampung Tala untuk mengangkat padi jemuran. Selesai memunggah padi yang dijemur dan keadaan hujan semakin reda, perempuan tua bersama cucunya itu telah pergi semula ke Kampung Tala, tetapi alangkah terkejutnya apabila melihat kampung itu telah dihempap batu besar atau gunung yang melenyapkan sama sekali kampung itu. Menurut catatannya lagi, perempuan tua dan cucunya inilah yang menjadi pencerita kepada generasi-generasi sehingga sekarang mengenai sejarah kemunculan 'Gunung Reng' itu.
*Reng bermaksud kudrat atau tenaga dalam dialek Kelantan.
        Gunung yang menghempap Kampung Tala itu dikatakan berasal dari Ulu Sungai Reng yang terletak di negeri Perak dan jaraknya kira-kira tiga malam perjalanan di sempadan Kelantan dan Peka untuk sampai ke Kampung Tala. Bukti yang paling jelas ialah tempat asal gunung ini telah menjadi kolam dan sehingga sekarang dikatakan tapak kolam yang terdapat di Hulu Sungai Reng seperti berbentuk Gunung Reng yang terdapat di Kelantan.
        Gunung berkenaan juga dikatakan menjadi tempat tinggal Puteri Sa'adong untuk seketika setelah berpindah dari Bukit Marak di Pasir Puteh. Kerana itulah juga Gunung Reng mempunyai gua-gua dalam pelbagai bentuk seperti tempat hulubalang, tempat bermain makyung, serta bilik-bilik seperti Gua Badak, Gua Payung, Gua Kaca, Gua Rimau dan Gua Bedak. Melalui Gua Payung itulah dikatakan ia menjadi pintu masuk lereng gua-gua berkenaan. Bagaimanapun, mengikut catatan sejarahnya Puteri Sa'adong tidak tinggal lama di Gua Reng disebabkan beliau kecewa dengan sikap penduduk kampung yang meminjam barang-barangnya seperti pinggan mangkuk tetapi tidak menghantar pulang. Ekoran daripada itulah dikatakan Puteri Sa'adong telah merajuk dan lari menyembunyikan diri di Gua Ayam di Gua Musang dan barang-barang atau khazanah yang tersimpan di gua tersebut turut menjadi batu, termasuk seekor gajah.

0 ulasan:

Post a Comment

Translate