Home » , , » Sejarah Awal Islam di Guangzhou

Sejarah Awal Islam di Guangzhou

Written By Unknown on 24 January 2013 | 13:05


Bandaraya Guangzhou merupakan kota bersejarah China sejak 2200 tahun lalu dan ianya adalah salah satu daripada tiga kota terpenting di China. Sejarah awal kota ini merupakan pusat perdagangan antarabangsa dan Jalan Sutera Laut.
Pernah menjadi tuan rumah Sukan Asia ke-16 tahun 2010. Ianya menjadi tumpuan pedagang daripada Asia Barat dan Eropah yang menjadikan Guangzhou sebagai pangkalan perdagangan terpenting di Timur Jauh. Bertitik tolak daripada kedudukannya yang strategik inilah dikatakan bahawa Agama Islam turut tersebar di kota ini melalui kedatangan pedagang-pedagang dari Asia Barat. Mengikut para sarjana, Guangzhou adalah pintu gerbang awal menerima penyebaran Agama Islam di negara China.

Pada cuti musim panas yang lepas (4-8 Julai 2012), saya bersama dua orang pelajar Malaysia telah berpeluang membuat liputan kajian tentang kedatangan Islam di Bandaraya Guangzhou ini yang dahulunya dikenali sebagai `Canton'. Tumpuan lawatan kajian ialah dua tempat utama yang masih terdapat kesan peninggalan kedatangan terawal agama Islam di China amnya dan di kawasan ini khususnya. Dua tempat peninggalan sejarah awal Islam itu ialah Masjid Huaisheng dan juga Makam Kuno yang dikenali sebagai Makam Saad Abu Waqqash.

i) Masjid Huaisheng

Masjid Huaisheng telah dibina oleh Saad bin Abu (Abi) Waqas kira-kira 1,300 tahun yang lalu di tempat yang dikenali sebagai Guangtalu'. Pada ketika itu, masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Rumah Api, atau sering juga disebut sebagai `balai sembahyang'. Perkataan Huaisheng digunakan dalam "Nan Hai Bai Yong – Fan Ta" (Kisah-kisah di Laut Selatan, `Menara Asing') oleh Fang Xinru, dari Dinasti Song Selatan. Dalam buku ketiga "Nan Hai Bai Yong Xu Bian" (Kisah-kisah Laut Selatan Lanjutan) oleh Fan Kunwu dari Dinasti Qing disebutkan bahawa "Pemimpin Agama Islam adalah Nabi Muhammad, orang muslim memanggilnya `Nabi'. Justeru, masjid ini dinamakan Masjid Huaisheng bermakna memperingati orang suci, iaitu Nabi Muhammad". Pemakaian kata Huaisheng, yang bererti memperingati orang suci, adalah selaras dengan pernyataan perasaan terharu dan kesyukuran para pedagang Dasi yang menempuhi lautan gelora dan badai untuk sampai ke Guangzhou dengan selamat. Apabila mereka tiba di Guangzhou, kegiatan pertama mereka (pedagang Islam) ialah bersembahyang sebagai tanda kesyukuran kepada Allah dan Rasulullah.
Sebagaimana dijelaskan tadi bahawa Masjid Huaisheng ini didirikan pada permulaan Dinasti Tang (618-9-7 T.M.) oleh Abu Waqas, seorang sahabat Rasulullah yang datang menyebarkan ajaran Islam di Guangzhou dan membina masjid ini sebagai memperingati Nabi Muhamad s.a.w. Masjid bersejarah lebih daripada 1,300 tahun ini merupakan masjid yang tertua (paling lama) di China. Menara yang berbentuk silinder dan bercirikan senibina Islam ini mempunyai ketinggian 36.3 meter. Pada mulanya menara ini adalah untuk muazin berazan menandakan masuknya waktu solat bagi umat Islam. Apabila mendengar suara azan tersebut, orang-orang Islam yang berada di sekitar kawasan tersebut akan datang beramai-ramai untuk mengerjakan solat. Pada ketika itu, menara ini terletak betul-betul di tebing Sungai Mutiara (Zhu Jiang), iaitu berdekatan dengan pelabuhan utama yang sibuk dengan kapal dagang dari berbagai pelosok dunia. Biasanya, pada sebelah malam, lampu dipuncak menara akan dipasang untuk membantu kapal-kapal yang lalu. Sebab itulah menara ini kemudiannya dinamakan Masjid Rumah Api.
                                                            Menara Asal Masjid Huaisheng
Kedudukan masjid ini sejak dinasti Tang tidak berubah. Ia kini jauh ke daratan, iaitu lebih kurang 4 km dari laut kerana pelabuhan utama dahulu telah ditimbun dan dijadikan petempatan dan pusat perniagaan. Namun, sejak dibangunkan, walaupun telah berkali-kali terbakar; bentuk, skala dan struktur Masjid Huaisheng masih dapat dipertahankan dan diperluaskan dari satu dinasti ke satu dinasti. Pemulihan dan pembinaan semula masih di tempat yang sama. Justeru, selama lebih 1300, Masjid Huaisheng sentiasa diuruskan dengan teratur dan dapat bertahan hingga ke hari ini. Ianya mempunyai nilai sejarah yang sangat tinggi kerana membuktikan bahawa Masjid Huaisheng sebagai permulaan penyebaran agama Islam di negara China.

                                                     Pintu gerbang masuk ke Masjid Huaisheng
                                                              Masjid Huaisheng masa kini

Makam Kuno Wali-Abu Waqash

Makam Kuno Wali (Abu Waqas) di Guangzhou ini disebut juga sebagai "Kuburan Hui Hui", yang terletak di Bukit Guihua. Di kawasan makam terdapat bangunan rumah, manakala di sebelah baratnya terdapat tiga balai dan di sebelah utara pula terdapat ruang bersembahyang. Abu Waqas adalah seorang tokoh yang amat terkenal dalam membawa masuk agama Islam ke China. Beliau dikatakan meninggal dunia di Guangzhou dan dikuburkan di Makam Muslim Bijaksana (Xian Xian Mu) yang dibina oleh orang Islam bagi memperingati beliau. Bentuk ruang makam melengkung ke atas, laksana loceng yang tergantung. Di dalamnya seperti gua. Waktu membaca Quran atau bercakap di dalam makam ini, terdengar suara bergema sehingga juga disebut sebagai `Makam Bergema'. Makam ini dianggap keramat dan sering dikunjungi oleh berbagai lapisan masyarakat dari berbagai pelosok dunia.
                                                         Makam Kuno Wali (Abu Waqas)

       
                                                           Makam Kuno Wali (Abu Waqas)
Pada awal tahun 1980an, bangunan Masjid Abu Waqas yang baru telah didirikan bagi menampung jumlah umat Islam yang semakin ramai di Bandaraya Guangzhou. Masjid ini terletak kira-kira 200 meter daripada tapak asal Masjid Abu Waqas. Ianya lebih besar dan luas serta mempunyai 2 tingkat dewan sembahyang. Dianggarkan mampu menampung sehingga 3 ribu Jemaah pada satu waktu sembahyang khususnya sembahyang Jumaat dan sembahyang hari raya.
Di Guangzhou hanya ada 4 buah masjid sahaja, sedangkan umat Islam di kawasan ini kini berjumlah hampir 30 ribu orang. Rata-rata umat Islam di sini merupakan pedagang dan pelajar daripada negara-negara Asia Barat dan Asia Selatan (Pakistan, Bangladesh dan India). Biasanya pada setiap Jumaat, Jemaah yang memenuhi masjid ini sekitar 2 ribu orang dan menjangkakan umat Islam akan lebih ramai tertumpu di Guangzhou ini pada masa depan.
                                               Pandangan dalam makam: Pusara Abu Waqas
Bagi dunia Islam, Abu Waqas (Abu Waqqash) dianggap sebagai seorang tokoh penting yang membawa masuk agama Islam dan menyebarluaskannya di negara China. Manakala bagi masyarakat Islam tempatan pula, Abu Waqas adalah seorang wali yang dijunjung tinggi serta sangat dihormati. Ketokohan dan sumbangannya dalam membawa masuk Islam ke negara China memang tidak dapat disangkal lagi. Sebab itulah Makam Abu Waqas dijadikan keramat dan tanah suci untuk diziarahi.
Namun, satu persoalan yang menyelubungi pemikiran tentang makam ini ialah sejauhmana kebenarannya tentang tokoh ini. Adakah ianya adalah `Saad Abu Waqas', iaitu antara 10 sahabat Nabi yang dijanjikan syurga, ataupun tokoh lain yang kebetulan sezaman dan mempunyai nama yang sama dengan beliau sebagai pedagang serta penyebar agama Islam di Guangzhou. Ini kerana mengikut pendapat para sarjana Sejarah Islam, Saad bin Abu Waqas yang merupakan `sahabat' dan bapa saudara Rasullullah sebelah ibunya telah meninggal dunia pada tahun 55 Hijrah di Madinah dan disemadikan di tanah perkuburan Ba'qi yang terletak bersebelahan dengan Masjid
Nabi.
                                                           Masjid Abu Waqas yang baru
                                                       Pandangan dalam Masjid Abu Waqas

0 ulasan:

Post a Comment

Translate