Hadis dari Sahih Muslim
1-Subjek: Bab Memburu Dengan Menggunakan Anjing Yang Terlatih
Hadis Adiy bin Hatim r.a katanya:
Wahai Rasulullah, aku telah melepaskan anjing-anjing yang sudah terlatih untuk berburu, anjing-anjing tersebut membawa binatang buruan itu kepadaku.
Aku telah pun membaca Bismillah (menyebut nama Allah) padanya. Baginda bersabda: Apabila kamu menyuruh anjingmu yang telah terlatih dan kamu telah pun menyebut nama Allah atasnya, maka makanlah binatang buruan itu. Aku bertanya: Sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya? Baginda menjawab:
Ya, sekalipun anjing-anjing itu telah membunuhnya jika tidak ada anjing lain yang turut bersamanya. Aku bertanya lagi kepada baginda: Bagaimana jika aku memburu binatang dengan menggunakan panah lalu terkena tidak melalui matanya. Baginda menjawab: Apabila kamu memburu dengan menggunakan panah lalu terkena melalui matanya, maka makanlah. Tetapi jika terkena dari bahagian belakangnya (bukan dengan matanya) maka janganlah kamu makan.
Hadis Abu Sa'labah r.a
2-Subjek: Bab Apabila Seseorang Kehilangan Binatang Buruannya Kemudian Menemuinya
Daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: Apabila kamu melontar anak panahmu pada binatang buruan, lalu hilang kemudian kamu menemuinya, maka makanlah selagi tidak berbau busuk.
Hadis Abu Tha'labah r.a
3-Subjek: Bab Haram Memakan Setiap Binatang Buas Yang Bertaring Dan Burung Yang Berkuku Pencakar
Nabi s.a.w melarang dari memakan setiap binatang buas yang bertaring.
Hadith no. Abdullah bin Al-Mughaffal r.a
4-Subjek: Bab Diharuskan Menggunakan Alat Yang Membantu Dalam Berburu Binatang Dan Musuh Serta Dilarang Melastik Dengan Batu Di Antara Dua Jari
Hadis Abdullah bin Al-Mughaffal r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Buraidah katanya: Abdullah bin Al-Mughaffal melihat seorang teman lelakinya sedang melastik dengan batu lalu beliau berkata: Jangan melastik dengannya kerana Rasulullah s.a.w tidak suka atau melarang melastik.
Alat tersebut tidak boleh digunakan untuk berburu binatang buruan dan tidak boleh mencedera atau membunuh musuh, tetapi ia boleh memecahkan gigi dan mencungkil mata. Kemudian beliau melihatnya masih lagi melastik lalu berkata: Aku ingin beritahu engkau bahawa Rasulullah s.a.w tidak suka atau melarang dari melastik dengannya kemudian jika aku masih melihat kamu melastik, aku tidak akan beritahumu kalimah begini dan begini.
5-Subjek:Kitab Binatang Buruan, Sembelihan Dan Binatang Yang Halal Dimakan
Hadis Abu Tha'labah Al-Khusyani r.a katanya: Aku telah datang menemui Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, kami tinggal di bumi satu kaum dari kalangan Ahli Kitab. Kami makan dengan menggunakan bekas mereka dan di situ aku berburu.
Aku berburu dengan menggunakan panah, terkadang dengan menggunakan anjingku yang telah terlatih dan terkadang pula dengan menggunakan anjingku yang tidak terlatih. Ceritakanlah kepadaku apa yang halal untuk kami dari semua itu. Baginda bersabda: Apa yang kamu katakan bahawa kamu tinggal di negeri kaum Ahli Kitab lalu kamu makan dengan menggunakan bekas mereka, sekiranya kamu boleh dapati selain dari bekas mereka, janganlah kamu makan di dalam bekasnya.
Kalau kamu tidak dapati selainnya, basuhlah dahulu dan makanlah di dalam bekasnya. Mengenai kamu berburu di tanah pemburuan, apa yang kamu lontar dengan panah sebutlah nama Allah kemudian makanlah dan mengenai hasil buruan yang kamu dapatkan dengan menggunakan anjingmu yang telah terlatih, sebutlah nama Allah kemudian makanlah. Adapun hasil buruan yang kamu dapatkan dengan menggunakan anjingmu yang tidak terlatih, jika kamu dapat menyembelihnya, maka makanlah.
6-Subjek:Bab Diharuskan Memakan Bangkai,Bangkai dari Laut
Hadis Jabir r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah menghantar kami dengan diketuai oleh Abu Ubaidah untuk menemui kafilah atau rombongan kaum Quraisy yang membawa bekalan makanan untuk kami dengan sebekas kurma dan tiada bekalan untuk kami selainnya. Abu Ubaidah hanya memberikan kepada kami sebiji kurma seorang. Aku bertanya: Bagaimana kamu semua buat? Beliau menjawab: Kami menghisapnya seperti seorang bayi kemudian meminum air, ia cukup untuk hari tersebut hingga ke malamnya. Selebihnya kami terpaksa mencari daun kayu dengan menggunakan tongkat kami. Daun tersebut kami basahi atau kami campur dengan air lalu kami memakannya, kemudian kami menuju ke tepi laut. Di pantai tersebut kami melihat seperti setompok pasir yang agak besar. Apabila kami mendekatinya kami dapati ianya seekor binatang yang dinamakan Anbar (ikan panjang dan berkepala lebar atau ikan paus).
Beliau (Perawi) berkata: Abu Ubaidah mengatakan ianya sudah menjadi bangkai. Kemudian beliau berkata: Tidak, kita adalah utusan Rasulullah s.a.w yang sedang berada di jalan Allah, kerana terpaksa kamu boleh memakannya. Beliau menambah: Kami mengambil masa selama sebulan dengan jumlah kami kesemuanya tiga ratus orang sehingga kami menjadi gemuk. Beliau menambah lagi: Aku mencadangkan agar kami mencedok minyak dengan menebuk matanya menggunakan satu pembuluh besar dan kami memotong dagingnya seperti lembu atau seperti daging lembu. Abu Ubaidah telah memerintahkan tiga belas orang di antara kami untuk menebuk mata dan dia telah mengambil salah satu daripada tulang rusuknya, maka merekapun melakukannya kemudian membawanya dengan unta yang paling besar yang ada pada kami dengan menanggungnya. Lalu kami membawa bekalan daging dan memasakkannya separuh masak. Manakala kami tiba di Madinah, kami menemui Rasulullah s.a.w dan menceritakan pengalaman tersebut kepada baginda. Baginda bersabda: Itu adalah rezeki yang diberikan oleh Allah kepadamu. Adakah kamu masih mempunyai sebahagian dagingnya untuk kami makan? Lalu kami mengirimkan daging ikan tersebut kepada Rasulullah s.a.w dan baginda pun memakannya
7-Subjek: Bab Diharuskan Memakan Belalang
Hadis Abdullah bin Abi Aufa r.a katanya: Kami telah ikut berperang bersama Rasulullah s.a.w sebanyak tujuh kali dan kami pernah memakan belalang.
8-Subjek:Bab Mengenai Makan Daging Kuda
i)Hadith no. 3595
Hadis Jabir bin Abdullah r.a: Rasulullah s.a.w melarang pada hari Khaibar dari memakan daging keldai peliharaan dan mengizinkan memakan daging kuda.
ii)Hadith no. 3597
Hadis Asma' r.a katanya: Kami telah menyembelih seekor kuda pada zaman Rasulullah s.a.w lalu kami memakannya.
9-Subjek:Bab Haram Memakan Daging Keldai Yang Dipelihara Untuk Kerja Dan Sebagainya
i)Hadith no. 3582
Hadis Abu Tha'labah r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengharamkan daging keldai peliharaan.
ii)Hadith no. 3583
Hadis Ibnu Umar r.a: Rasulullah s.a.w melarang dari memakan daging keldai peliharaan.
iii)Hadith no. 3585
Hadis Abdullah bin Abu Aufa r.a: Diriwayatkan daripada Asy-Syaibani katanya: Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa r.a mengenai daging keldai peliharaan. Beliau menjawab: Pada hari Khaibar kami telah dilanda kelaparan dan waktu itu kami bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Kami mendapatkan beberapa ekor keldai dari luar Madinah lalu menyembelihnya. Ketika periuk-periuk kami yang berisikan binatang tersebut sudah hampir masak, tiba-tiba juru seru Rasulullah s.a.w menyeru agar kami mematikan api periuk-periuk tersebut dan jangan memakan daging keldai itu sedikit pun. Aku bertanya: Bagaimanakah pengharamannya? Katanya: Kami telah berbincang sesama kami dan kami katakan pengharaman tersebut adalah pasti dan sebab pengharamannya adalah ia tidak boleh dibahagi lima.
iv)Hadith no. 3591
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Aku tidak tahu samada Rasulullah s.a.w melarangnya kerana binatang tersebut merupakan binatang pengangkut barang bagi manusia dan mereka tidak suka jika binatang seperti itu hilang atau mungkin juga diriwayatkan baginda mengharamkan daging keldai pada hari Khaibar hanya bagi keldai peliharaan.
v)Hadith no. 3592
Hadis Salamah bin Al-Akwa' r.a katanya: Aku turut bersama-sama Rasulullah s.a.w ke Khaibar. Kemudian Allah memperkenankan penaklukan tersebut bagi kaum Muslimin. Pada petang hari penaklukan tersebut, orang-orang Muslimin menyalakan api yang besar. Rasulullah s.a.w bertanya: Api apakah itu dan untuk apa mereka menyalakannya? Mereka menjawab: Untuk memasak daging. Rasulullah s.a.w bertanya: Daging apa? Mereka menjawab: Daging keldai peliharaan. Rasulullah s.a.w bersabda: Buanglah masakan itu dan pecahkan periuknya. Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah! Kami akan membuang dan membersihkannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Begitu juga boleh.
vi)Hadith no. 3593
Hadis Anas r.a katanya: Ketika Rasulullah s.a.w telah berjaya menakluki Khaibar kami mendapatkan beberapa ekor keldai di luar kampung lalu kami memasaknya. Juru seru Rasulullah s.a.w menyeru: Tidakkah Allah dan Rasul-Nya telah melarang kamu dari memakan binatang tersebut? Ianya adalah kotor dan termasuk dari perbuatan syaitan, lalu periuk-periuk berisi masakan yang telah mendidih tersebut pun diterbalikkan.
10-Subjek:Bab Diharuskan Memakan Arnab
Hadith no. 3611
Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Ketika kami berjalan melalui Daerah Az-Zahran tiba-tiba kami dikejutkan oleh seekor arnab lalu kami mengejarnya sehingga penat. Katanya lagi: Aku telah mengejarnya sehingga dapat menangkapnya. Aku pun membawanya kepada Abu Talhah lalu beliau menyembelihnya. Beliau mengirimkan kaki dan kedua pahanya kepada Rasulullah s.a.w lalu aku pun membawanya kepada Rasulullah s.a.w dan baginda menerimanya.
11-Subjek:Bab Harus Memakan Dhab
i)Hadith no. 3598Hadis Ibnu Umar r.a katanya: Nabi s.a.w pernah ditanya mengenai dhab. Baginda menjawab dengan bersabda: Aku tidak memakannya tetapi aku tidak mengharamkannya.
ii)Hadith no. 3603
Hadis Khalid bin Al-Walid r.a: Sesungguhnya beliau bersama Rasulullah s.a.w masuk ke rumah Maimunah isteri Nabi s.a.w yang juga emak saudaranya (Khalid) dan Ibnu Abbas. Di rumah Maimunah terdapat daging dhab yang dipanggang telah disediakan oleh saudaranya bernama Hufaidah binti Al-Harith dari Najd. Daging itu kemudian dihulurkan kepada Rasulullah s.a.w dan jarang sekali dihulurkan makanan kepada baginda tanpa memberitahu terlebih dahulu tentangnya. Rasulullah s.a.w lalu menghulurkan tangan pada dhab tersebut. Seorang wanita yang juga bertamu di situ berkata: Beritahulah Kepada Rasulullah s.a.w apa yang kamu berikan kepada baginda itu. Mereka lalu mengatakan: Itu adalah daging dhab wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w menarik kembali tangannya. Kemudian Khalid bin Al-Walid bertanya: Haramkah dhab itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Tidak. Tetapi ia tidak terdapat di bumi kaumku lalu aku merasa jijik. Khalid berkata: Aku mengambil lalu memakannya, Rasulullah s.a.w melihatnya tetapi tidak melarang kami.
iii)Hadith no. 3604
Hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Emak saudaraku Ummu Hufaid telah menghadiahkan kepada Rasulullah s.a.w minyak sapi, keju dan daging dhab. Baginda memakan minyak sapi dan keju dan meninggalkan daging dhab kerana merasa jijik. Lalu hidangan yang disediakan untuk Rasulullah s.a.w telah dimakan. Sekiranya haram tentu hidangan untuk Rasulullah s.a.w itu tidak akan dimakan.
Jenis-Jenis Bangkai Yang Boleh Dimakan Dalam Islam
Dari : http://www.mymasjid.net.my
ikut nyimak...semoga mendapatkan ilmu yang bermandaat dan barokah...aamin
ReplyDeleteSentra Senapan Angin Pare
Pusat Senapan Gejluk dan PCP Pare Kediri