Home » » Isu Murtad Membimbangkan

Isu Murtad Membimbangkan

Written By Unknown on 31 January 2013 | 13:58


ISU murtad kembali diberi perhatian oleh media massa sejak kebelakangan ini. Masalah murtad ini adalah polemik yang benar-benar berlaku di Malaysia. Ia bukanlah suatu rekaan pihak tertentu bagi meraih kepentingan tertentu.

Isu murtad ini sebenarnya adalah berangkai dengan beberapa isu lain seperti; penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam bagi merujuk agama mereka, kristianisasi dan isu-isu lain.

Hal yang demikian ini dapat dilihat daripada permohonan menukar nama atas alasan telah keluar daripada Islam. Begitu juga tindakan seseorang memfailkan suatu permohonan, sama ada di mahkamah syariah ataupun mahkamah sivil untuk mendapatkan perisytiharan keluar daripada agama Islam.

Malah terdapat juga sebilangan orang yang membuat akuan bersumpah atau Deed Poll bagi mengesahkan dakwaan beliau telah tidak lagi memeluk agama Islam. Begitu juga terdapat orang Islam yang bersekedudukkan dengan pasangan bukan Islam sehingga melahirkan anak serta mengikut agama pasangan mereka.

Perlakuan murtad ini boleh berlaku secara berkumpulan atas sebab-sebab tertentu seperti; tidak mendapat layanan sewajarnya daripada pihak tertentu, mengikut ajaran-ajaran yang telah difatwakan salah seperti Qadiyani, Ayah Pin, Rasul Melayu dan ajaran yang terpesong daripada akidah Islam.

Murtad juga pernah dilaporkan berlaku di kalangan remaja yang menyertai kumpulan-kumpulan tertentu yang menyembah syaitan serta gerakan Jangan Ikut Tuhan (JIT). Bagi sesetengah yang lain pula murtad berlaku secara senyap, sama ada dengan berpegang kepada agama lain ataupun melakukan upacara yang terpesong daripada akidah Islam.

Cubaan murtad

Pun begitu bagi menjaga agama Islam sebagai agama negara mengikut Perlembagaan Persekutuan, perlakuan di atas tidak dengan sendiri menjadikan seseorang itu sebagai tidak Islam. Ia perlu kepada perakuan daripada pihak berkuasa agama bagi mengesahkan mereka tidak lagi beragama Islam.

Di Malaysia undang-undang mengenai murtad terdapat di dalam beberapa bentuk sebagai kesalahan cubaan murtad sebagaimana yang terdapat di dalam Enakmen Jenayah Syariah beberapa negeri seperti Perak, Melaka, Kelantan, Sabah dan Negeri Sembilan. Mahkamah Syariah juga diberi bidangkuasa secara spesifik untuk mengisytiharkan seseorang itu tidak lagi beragama Islam.

Manakala memurtadkan orang Islam pula telah dijadikan suatu kesalahan di bawah Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam. Kesalahan di bawah enakmen ini pula dibicarakan di mahkamah sivil.

Gaya hidup yang tidak memberi penekanan hidup beragama telah mendedahkan orang Islam kepada kerapuhan iman. Akhirnya keyakinan terhadap Allah itu akan terhakis dari semasa ke semasa.

Kemuncak krisis keyakinan terhadap Allah ini ialah tindakan seseorang ke arah murtad. Nama-nama seperti Aisyah Haji Bohari, Hartina Haji Kamarudin, Azlina Jailani, Siti Fatimah Tan dan banyak lagi mungkin sudah tidak diingati oleh orang Islam. Malah terdapat juga seorang ustazah lulusan universiti terkemuka Asia Barat yang telah mengikuti ajaran yang mensyirikkan Allah.

Tetapi bagi pendakwah, nama-nama inilah yang sering bermain di bibir apabila membicarakan isu murtad dan membuktikan memang terdapat usaha memurtadkan orang Islam. Sebahagian orang Islam pula seolah-olah sudah tidak lagi sensitif kepada orang Islam yang mahu murtad. Malah terdapat sebilangan yang 'membantu' orang Islam murtad atas nama kebebasan beragama.

Apabila kepekaan dalam isu murtad ini sudah tidak lagi wujud di dalam diri orang Islam, lama-kelamaan murtad ini akan dilihat sebagai suatu norma yang biasa berlaku di negara kita. Apabila tahap ini telah dicecah, umat Islam sudah terlambat daripada menggunakan segala usaha bagi mengembalikan orang yang telah murtad itu ke jalan yang sebenar.

Murtad adalah suatu dosa yang amat besar dan kesalahan yang sangat serius. Mendakwa murtad merupakan hak kepada orang Islam merupakan suatu yang begitu jauh tersasar daripada agama Islam itu sendiri. Perkara ini dapat dibuktikan apabila jenayah riddah ini telahpun dijadikan suatu kesalahan dan termasuk di dalam kategori kesalahan besar dalam Islam.

Berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan dengan mendabik dada mengatakan hak asasi manusia membenarkan seorang Islam itu murtad juga sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada mana-mana orang menganut dan mengamalkan agamanya. Perkara 11(1) tersebut hanya mengatakan orang Islam berhak menganut dan mengamalkan agama Islam. Begitu juga penganut agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian bebas menganut dan mengamalkan agama mereka.

Perkara 11(1) tidak memberi hak kepada mana-mana orang bertukar-tukar agama. Pertukaran agama hendaklah dilakukan mengikut agama itu sendiri dan juga undang-undang yang berkuatkuasa. Tiada hak yang diberikan oleh mana-mana undang-undang bersifat mutlak. Sudah tentu setiap hak yang diberikan mempunyai batasannya tertentu. Malah hak itu sendiri kebiasaannya diimbangi dengan tanggungjawab.

Kepekaan isu murtad

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
l DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my

0 ulasan:

Post a Comment

Translate