Home » » Korea Utara Berjaya Lakukan Ujian Nuklear

Korea Utara Berjaya Lakukan Ujian Nuklear

Written By Unknown on 14 February 2013 | 21:34

Menurut Agensi Berita Pusat Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK), negara itu telah berjaya melakukan ujian nuklear bawah tanah hari ini.


Sementara itu, Kementerian Pertahanan Republik Korea (RoK) juga mengesahkan ujian nuklear DPRK tersebut.
                                                          Jurucakap MND
Menurut laporan media tempatan RoK, MND menyatakan, letupan ujian nuklear DPRK itu dianggarkan bersamaan dengan letupan enam hingga tujuh ribu tan TNT. RoK akan bersama-sama masyarakat antarabangsa mengambil sikap yang keras terhadap ujian itu. Tentera Rok juga bersiap siaga untuk menghadapi situasi kecemasan.

Pada hari yang sama, Jabatan Meteorologi RoK menyatakan, gempa bumi berukuran 5.0 pada skala Richter melanda kaunti Kilju, provinsi Hamkyung Utara DPRK pada pukul 11.57'50'' waktu tempatan.

Sehubungan dengan itu, Presiden RoK, Lee Myung-bak mengadakan mesyuarat tergempar. Presiden terpilih, Park Geun-hye pula akan diberi taklimat berkenaan petang ini.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan PBB dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergempar pada pukul 9.00 waktu bahagian timur AS (pukul 22.00 waktu Beijing) untuk membincangkan isu ujian nuklear DPRK.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe hari ini mengumumkan, negaranya akan melaksanakan pelbagai tindakan termasuk sekatan sepihak untuk menghadapi isu tersebut.

Ujian Nuklear DPRK, Fokus Antarabangsa

Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar pada 12 Februari yang lalu untuk membincangkan isu ujian nuklear DPRK. Menteri Luar dan Perdagangan Republik Korea, iaitu negara pengerusi bergilir Majlis Keselamatan bulan ini berkata, Majlis Keselamatan mengecam keras ujian nuklear DPRK itu.

Presiden AS, Barack Obama ketika menghubungi rakan sejawatnya dari Republik Korea, Lee Myung-bak berkata, pihaknya akan menunaikan janji untuk mempertahankan sekutunya, termasuk mengembangkan sayap "sistem pelindung nuklear"nya.

Jurucakap Kementerian Luar Iran berkata, pihaknya menentang usaha mana-mana negara memiliki senjata nuklear dan senjata pembunuhan beramai-ramai manakala kelengkapan senjata nuklear yang sedia ada perlu dimusnahkan.

Sementara itu, pelbagai negara termasuk India, Pakistan, Israel, Kanada, Norway, Thailand dan Brazil turut mengeluarkan kenyataan untuk mengutuk dan menyatakan kekesalan atas ujian nuklear DPRK.


Reaksi Masyarakat Antarabangsa terhadap Ujian Nuklear DPRK

China, Amerika Syarikat, Rusia, PBB, EU serta NATO turut memberikan reaksi tentang ujian nuklear kali ketiga Repubik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) semalam.

Menurut Kementerian Luar China, China menentang keras kedegilan DPRK yang mengetepikan bantahan masyarakat antarabangsa terhadap ujian nuklear itu. Menteri Luar China, Yang Jiechi memanggil Duta Besar DPRK ke China, dan mengemukakan bantahan berhubung perkara tersebut.

Presiden AS, Barack Obama berkata, tindakan provokasi DPRK itu menjejaskan kestabilan serantau, melanggar kewajipan berkenaan yang termaktub dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan janji DPRK dalam kenyataan bersama Rundingan Enam Pihak pada September 2005, sekaligus menambah risiko percambahan nuklear.

Kementerian Luar Rusia berkata, DPRK patut menghentikan tindakan haram, mematuhi resolusi UNSC, membatalkan rancangan nuklear dan peluru berpandunya.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, tindakan DPRK itu dianggap sebagai ancaman besar bagi keselamatan negara dan menjejaskan kedamaian dan keselamatan masyarakat antarabangsa. Ia sama sekali bertentangan dengan usaha penyelesaian menerusi dialog.

Setiausaha Kanan Presiden Republik Korea (RoK) bagi dasar luar dan jaminan keselamatan, Chen Yung-woo berkata, tindakan DPRK itu pelanggaran resolusi UNSC, mengancam kedamaian dan keselamatan di Semenanjung Korea dan Asia Timur Laut serta cabaran terang-terangan terhadap masyarakat antarabangsa.

Selain itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, Wakil Kanan EU bagi dasar luar dan keselamatan, Catherine Ashton, dan Majlis NATO turut mengecam tindakan DPRK itu.

0 ulasan:

Post a Comment

Translate